29 Safar ... Akan menjadi Kenangan.


Gambar kenangan bersama Arwah Nenda. Dari kiri, saya, Bonda dan Nenda sedang mendokong Nana yang baru berusia beberapa minggu.


Gambar (sebahagian) keluarga di majlis cukur jambul Nana Januari 2007

Sedang saya membasuh pinggan di dapur, 
bonda menelefon dari seberang. Memberi perkhabaran kurang enak didengar.
Nenda Surinam telah menghembuskan nafasnya yang terakhir - pagi tadi.

Beliau berasal dari Pulau Jawa. Rona hidup telah membawanya ke Pulau Labuan. 
Di sini, beliau berkahwin dengan Hassan b Zainal Abidin (datuk saya). Hasil perkahwinan mereka,
Rafeah (bonda), Adnan, Aminah (arwahyarhamah), Hamzani dan Hasnah. Selepas Datuk meninggal, Nenda berjodoh pula dengan Hj Kasron. Dan saya ada beberapa lagi pakcik dan makcik hasil perkahwinan Nenda kemudian itu.

Bonda saya tidak dibesarkan oleh Nenda. Bonda dibesarkan oleh Nendanya (Habsah bt Hussein - Ibu kepada datuk saya Hassan b. Zainal Abidin). Pokok keluarga saya agak kompleks. Nama pun pusing-pusing situ. Oleh kerana tidak dibesarkan secara direct, bonda saya jarang mendekati Arwah, sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai cucu yang tidak berkesempatan 'rapat' dengan beliau (cucu yang datang melawat, dan pergi), saya, sangat kagum dengan nya. Tak reti nak duduk diam di rumah. Ada saja aktiviti, berkebun, memancing, ayamnya, itiknya... macam-macam. Dan Nenda - orangnya kuat semangat.

Pemergian beliau meninggal 9 orang anak (kalau saya tak silap kira), lebih 40 cucu, hampir 40 cicit, dan beberapa orang 'selepas cicit'. Saya gunakan perkataan "lebih" dan "hampir" kerana saya tidak dapat nak mengira dengan tepat. Terlalu ramai. Saya takut menggunakan kata yang pasti.

Pasti dirindui, dan dikenangi.
Pastinya tidak akan saya lupakan dia dalam senarai orang-orang yang mendapat bahagian sedekah Al-Fatihah dan doa di akhir setiap solat.

Al-Fatihah buat Nenda Surinam. 



Semoga roh Nenda dicucuri rahmatNya. Ameen Ya Rabbal Alamin. 

Nota kaki : Terkilan juga bila tidak dapat melawat buat kali terakhir. Dibuat perkiraan waktu dan kesempatan, terpaksa membatalkan niat dan berdoa dalam hati, sedekah Al-Fatihah, semoga Allah memberi kemudahan untuk keluarga menguruskan jenazah Nenda. Jauh dari mata tapi ikhlas dari hati.


2 comments

azieazah said...

Alfatihah.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga EFFA.

Benar, bila sudah tiada, kita sentiasa rindu. Dekat di hati...

Orang yang baik memang selalu menjadi kenangan manis dalam hidup kita...

Pic kenangan itu sangat mahal ertinya kini...

Effa Sahat said...

ye kak. rasa bertuah cos ada kenangan ttg beliau.