23 Mac 93 : It's All Coming Back To Me Now.

23/03/93 jam 8.15 minit malam.

Kami sekeluarga di ruangan keluarga, menunggu dengan debar pengumumam tarikh hari raya puasa pada tahun itu. Sejurus pengumuman dibuat oleh "orang yang sama saban tahun itu"(saya tak ingat nama beliau), tiba-tiba, telefon berbunyi... saya yang terdekat dengan telefon, angkat telefon tersebut dengan segera. 

"effa, mak mana?"

"oh mak lang, kejap ye" ...

mak : "Ohh.. okay, kami kesana sekarang." 
Segera mak letak gagang telefon dengan muka yang agak terkejut, mak bilang, ayah sudah tiada.... 

...

Bermula dari ketika itu, bermula lah pergerakan rapid. Persediaan untuk pengurusan jenazah, menelefon sedara mara yang terdekat, rakan taulan, oh ya, telefon Radio Malaysia Labuan untuk pengumuman berita keluarga (masa tu, mana ada SMS bagai). 

Saudara mara dan rakan taulan arwah ayah datang memenuhi ruang rumah. Kawasan parkir kereta di depan rumah dan jalan raya depan rumah agak sesak. Arwah ramai kawan, sebab dia baik hati walaupun garang. 

Adik beradik saya yang 10, meratap dan menangis di rumah. Seingat saya ada 2 kakak saya sedang mengandung masa tu. Dan ada juga kakak saya yang pengsan beberapa kali, terlalu sedih. Saya dan adik, kebingungan. Tidak tahu nak nangis atau nak buat apa. Tapi memang tak ada air mata yang nak dititiskan. Tambahan mak bilang, jangan nangis. Mak nampak tabah walaupun kelam kabut. Dia kelam kabut kerana ingin memastikan proses persemadian arwahyarham berjalan lancar. 

Arwah ayah orang Kampung Rumbia, Alor Gajah Melaka. Berkhidmat sebagai anggota tentera darat dalam unit JLJ (saya tak tau JLJ itu apa) sehingga tahun 1986 (kalau tak silap), dan kemudian berkerja di Sabah Gas Labuan selepas itu selama beberapa tahun. Atas permintaan mak dan ibu tiri serta adik beradik, Arwah di semadikan di Labuan. Senang untuk kami melawat pusara beliau.

Sebenarnya Arwah memang admitted di hospital labuan akibat serangan strok kali ke 2 (atau kali ke 3- saya kurang ingat maklumlah masa tu umur baru 12 tahun). Dan masa tu, nenek (ibu kepada Ayah), sudah pun ada di Labuan, adik ayah, mak lang dan pak usu pun ada sekali melawat arwah. Memang sudah ketentuan, ketika arwah melepaskan nafasnya yang terakhir, tidak ada seorang pun anak mahu pun isteri beliau di sisi. Ketika itu, hanya nenek dan adik beradik nya bersamanya. Mungkin Allah SWT lebih mengetahui. Dia telah merancang. Kami semua di rumah.

Saya ketika itu berusia - 12 tahun. Bingung. Tak tahu apa nak buat. Tak tahu apa nak dijangka. Akhirnya saya di suruh membakar kemenyan di atas api sampai ada bara untuk diletakan dalam tempatnya. Nanti letak di tepi jenazah. Saya kan masih kecil, tak tahu apa yang betul atau salah, ikut la saja. Rupanya itu kan tak baik. Semoga Allah SWT memaafkan kami. 

Tapi orang ramai yang memberi penghormatan terakhir pada arwah ayah memang ramai. Cukup ramai. Macam kenduri kawin. Sudah saya bilang, arwah sangat ramai kenalan. Baik orang local labuan atau pun orang semenanjung yang bertugas di Labuan. 

Dalam hati saya? Saya bersyukur dan saya redha. Walaupun saya masih kecil, tapi saya dapat lihat sesuatu yang baik bakal berlaku. Bukanlah saya bahagia atas pemergiaannya, tapi saya rasa beliau bakal lebih tenang di situ. Ayah ada 2 isteri, 10 orang anak. Bermacam ragam, bermacam perangai. Penat rasanya dia nak control semua itu. Kadang saya rasa keluarga sebelah saya dan sebelah tiri tidak pernah aman. Ada saja yang hendak dikelahikan. Sehinggalah arwah ayah pergi. Baru nampak kesepakatan di antara kami (saya dan 2 orang adik masih kecil, kebanyakkan kes, kami tak tahu menahu). Allah SWT menyembunyikan sesuatu yang indah dalam sesuatu yang duka. Itu rahmat dan rahsiaNya. 

Ketika kali terakhir kami dibenarkan mencium dahi ayah, saya menahan air mata dari gugur di anggota nya. Begitu juga adik beradik yang lain. Yang paling saya sedih, adik saya yang bongsu, Charm, tanya kenapa letak ayah macam tu. Mak saya tidak ada jawapan tepat itu anak yang berusia 5 tahun. 

Dan ketika arwah telah selamat di semadikan di liangnya, adik saya menangis, tidak mahu ayah diletakkan disitu, bilangnya, bawa balik ayah, nanti ayah kesian, kena hujan, kena panas. 

Ketika itu, saya mengalirkan air mata. Kerana saya mengerti erti kehilangan, sedangkan adik saya masih lagi memerlukan kasih sayang itu....





(sampai di sini, saya tak mampu nak menaip lagi......)

Al-Fatihah untuk mu Ayah... Semoga Ayah diletakkan bersama-sama orang-orang yang beriman... Amin.... Ya Rabbal Alamin...

3 comments

Nurul Aima Hj Kaim said...

al-fatihah

Yan said...

ALFATIHAH.. moga dia aman di sana. doa yang kerap..

Janna Wan Muhammad said...

al-fatihah utk arwah ayah efa...akak masih ada ayah...semoga akak gunakan peluang yg masih ada...sebaik2 nya...kan ? sedih baca entry ini...